(13) "Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.
(14) "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
(15) "Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.
(16) "Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa.
(17) "Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?"
(18) Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".
(19) Allah Taala berfirman: "Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!"
(20) Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.
(21) Allah berfirman: "Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.
(22) "Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.
(23) "(Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.
(24) "Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas".
(25) Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;
(26) "Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;
(27) "Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,
(28) "Supaya mereka faham perkataanku;
(29) "Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.
(30) "Iaitu Harun saudaraku;
(31) "Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,
(32) "Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,
(33) "Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,
(34) "Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;
(35) "Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".
(36) Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!
(37) "Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.